Syarikat Air Johor Holdings Bhd (SAJ) akan menghentikan sementara bekalan air berjadual di Mersing mulai 29 Jun hingga 10 Julai ini bagi memberikan keselesaan kepada 15,000 pengguna yang akan menyambut Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Wahab Abdul Hamid berkata selepas tempoh itu, bekalan air berjadual bagaimanapun akan diteruskan dan dijangka berakhir pada 16 Julai. Pihaknya faham apabila tiba musim perayaan, ramai warga kota akan pulang ke kampung dan ini menyebabkan penggunaan air meningkat kepada 300 peratus daripada kapasiti penggunaan biasa.
Dalam tempoh tersebut, kita perlu memastikan tiada gangguan terhadap bekalan air dan pengguna juga harus menggunakan air dengan berhemah. Setakat semalam, paras air yang direkodkan di Empangan Congok, Mersing adalah 3.63 meter berbanding paras kritikalnya, 4.88 meter manakala Sungai Mersing (12.08 meter berbanding paras amaran, 11.70 meter.)
Walaupun paras air di Empangan Congok adalah di bawah tahap kritikal, namun, ia disokong oleh air di Sungai Mersing. SAJ juga telah mengepam air dari Sungai Jemari sejak 13 Jun untuk meningkatkan paras air di Empangan Congok.
Dan bagi pemulihan jangka masa panjang pula kerajaan negeri telah mendapat dana bantuan sebanyak RM100 Juta dari kerajaan pusat. Dana ini bagi membina empangan baru yang dijangka siap pada 2018 nanti.
Langkah ini dilakukan kerana kerajaan negeri faham kesulitan yang dihadapi oleh pengguna kerana catuaan penggunaan air sejak akhir-akhir ini. Kerajaan negeri berharap pengguna dapat bersabar kerana langkah-langkah pemulihan jangka masa pendek dan panjang telah diambil oleh kerajaan negeri.
Langkah-langkah ini diambil kerana kerajaan negeri begitu komited dalam memastikan segala kemudahan asas di negeri ini berada ditahap terbaik. Kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri kepada rakyat Johor.