Polis Johor manahan seorang lelaki yang menggunakan identiti Kluang Man@The Kluang Man atau nama sebenarnya Muhammad Masyhur Bin Abdullah selepas mengeluarkan mesej bertujuan menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi laman sosial Twitter pada 23 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, berikutan perkataan yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Ismail Sultan Ibrahim, suspek ditahan di Jalan Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada jam 10.50 pagi.
Katanya, suspek didapati memuatnaik penghantaran mesej terbabit dalam akaun Twitter dan di bawa ke Johor Bahru untuk siasatan lanjut.
"Tindakan menahan suspek susulan laporan polis dibuat ekoran penghantaran mesej berbentuk jelik pada jam 10.30 pagi 23 Mei lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit dan dua kad sim.
Suspek yang juga Penolong Setiausaha DAP Bukit Bintang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, suspek akan direman pagi ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan.
"Polis Johor ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menghantar mesej jelik yang menyusahkan dan menyakiti orang," katanya.