Empat syarikat gergasi dari Jepun dijangka melabur di negeri ini dengan nilai pelaburan dianggarkan hampir RM2 bilion di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Pelaburan empat syarikat itu yang melibatkan sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia dan berasaskan polimer itu dijangka dimuktamadkan dengan Johor Corporation (JCorp).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaburan itu diyakini dapat memberi manfaat ekoran limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan berkaitan.
"Keyakinan syarikat-syarikat terkemuka dari negara luar seperti itu yang terus menyatakan hasrat melabur di Johor membuktikan mereka terus mempunyai kepercayaan terhadap potensi yang ada di negeri ini.
"Dengan kredibiliti yang ada pada JCorp, saya yakin pelaburan itu akan mampu dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi JCorp kini berada di Tokyo, Jepun mengetuai delegasi kerajaan negeri bagi memuktamadkan pelaburan hampir RM2 bilion di negara itu.
Yang turut menyertai delegasi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim. -
Semua ini berlaku kerana syarikat luar yakin dengan pentadbiran kerajaan sedia ada. Jadi kita sebagai rakyat Johor perlu bersatu memastikan kerajaan yang sedia ada dikekalkan bagi memastikan negeri Johor terus maju.