Thursday 17 November 2016

BAJET JOHOR 2017 - KERAJAAN JOHOR TERUS CATAT BELANJAWAN LEBIHAN

 Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan belanjawan lebihan buat kali ketujuh berturut-turut sejak tahun 2011.
Anggaran lebihan sebanyak RM1.303 juta itu diumumkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam pembentangan Bajet Johor 2017 pada Sidang Dewan Negeri Johor di sini, hari ini.
“Kutipan hasil negeri pada tahun 2017 dijangka mencapai RM1,609 juta, peningkatan sebanyak 12.86 peratus daripada anggaran hasil dalam Bajet Johor 2016.
Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan belanjawan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah negeri itu, iaitu sebanyak RM763.3 juta.
Ia meliputi 47 peratus daripada peruntukan keseluruhan bajet kali ini.
Johor merupakan pemangkin pertumbuhan ketiga terpenting untuk Malaysia dan menyumbangkan 0.5 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang pada kadar lima peratus bagi tahun 2015.
Bajet Johor 2017 bertemakan ‘Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera’ yang dibentangkan Mohamed Khaled turut menghuraikan tiga misi utama yang menjadi teras pelaksanaannya.
Ia terdiri daripada mewujudkan kemakmuran material, membawa kesejahteraan sosial dan memperkasakan bakat, potensi dan kemandirian setiap rakyat Johor melalui agenda pendidikan dan kemahiran.
Tambahnya, ekonomi negeri itu digerakkan menerusi kekuatan pelbagai sektor dan tidak terlalu tertumpu kepada hanya satu sektor semata-mata.
“Kita masih negeri ketiga terbesar dalam semua sektor utama negara dan pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2010 hingga 2015 telah melepasi kadar kebangsaan setiap tahun, dengan purata 5.9 peratus pertumbuhan berbanding 5.3 peratus bagi Malaysia,” katanya.
Pencapaian kewangan semasa kerajaan negeri sehingga 16 November 2016 pula mencatatkan kutipan hasil hampir RM1.37 bilion, bersamaan 96 peratus kadar prestasi, manakala rizab semasanya berjumlah RM3.43 bilion.
Bajet 2017 juga memfokuskan kepada usaha memperkukuh dan menambah baik pelaksanaan tujuh Agenda Besar yang telah kita perkenalkan pada tahun ini, iaitu Johor Mahir, Johor Prihatin, Johor Lestari, Johor Islami, Johor Inovatif dan Digital, Keusahawanan Johor, dan Johor Berbudaya.