Tuesday 23 August 2016

SULTAN JOHOR PUJI KEINDAHAN PULAU DI JOHOR

 Pos Malaysia Bhd menerima dua pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) atas usahanya meletakkan pos peti diraja dasar laut pertama dan taman terumbu karang buatan manusia pertama di Malaysia.
Sijil MBOR itu dipersembahkan oleh Pengarah Operasi MBOR Christopher Wong Hong Wai kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh di Pulau Sibu di sini hari ini.
Program itu merupakan sebahagian program Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 yang berlangsung pada Ahad hingga semalam.
                          
Sultan Ibrahim turut menandatangani plak Monumen Santuari Dugong dan meletakkan tanda Santuari dugong di atas Google Map yang akan menunjukkan gambar dan lokasi pusat santuari itu.
Selain itu, baginda turut melancarkan projek perkhidmatan Pos Malaysia dan diberi penerangan mengenai projek naik taraf solar hibrid di pulau tersebut.
Turut hadir Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim, barisan exco kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Mersing Adib Azhari Daud.
Terdahulu, baginda menyelam sedalam sembilan meter di Pulau Mensirip bagi meletakkan logo Sultan Johor di peti pos sekali gus merasmikan peletakan peti pos diraja tersebut.
Sultan Ibrahim yang menyelam kira-kira 15 minit itu, turut memasukkan poskad khas kalis air di dalam peti pos berwarna merah sebagai simbolik pelancaran.
Setelah selesai, baginda kemudiannya menyelam menuju ke arah rangka karang sebagai simbolik taman terumbu karang buatan manusia itu yang dikenali sebagai Taman Terumbu Karang Tunku Laksamana.
Mohd Shukrie berkata pemasangan peti pos baharu tersebut merupakan hasil usahasama antara Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan kerajaan negeri Johor dalam mempromosikan segmen pelancongan pos di negara ini.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Pos Malaysia sebelum ini dalam menyediakan dan memasang peti pos di altitud tertinggi di puncak Gunung Kinabalu, diikuti peti pos dasar laut terdalam di Pulau Layang-Layang yang kedua-duanya terletak di Sabah, serta peti pos terselatan di Benua Asia di Tanjung Piai, Johor,” katanya.
Di Pulau Pemanggil pula, Sultan Ibrahim meletakkan tukun rekreasi sebagai tanda Rancangan Kawasan Khas (Zon Memancing) yang merupakan kerjasama antara Pulau Pemanggil, Perbadanan Taman Negara Johor dan Majlis Daerah Mersing.
Sementara itu di Pulau Aur pula, baginda merasmikan pos kawalan Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) dan melancarkan Sumber Air, diikuti pelancaran projek peletakan tukun di perairan pulau TLSI.
Kembara Jelajah Pulau Mersing 2016 yang diketuai Sultan Ibrahim itu melibatkan lapan pulau sekitar perairan Mersing dengan jarak pelayaran lebih 500 kilometer.
Lapan pulau yang dilawati ialah Pulau Tengah, Besar, Rawa, Mensirip, Pemanggil, Aur, Tinggi dan Sibu. – BERNAMA