Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.
1. 59 TAHUN LALU, pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia dan segenap pelusuk tanahair ini, telah bebas dari segala bentuk cengkaman penjajahan, penindasan, kezaliman, keterbelakangan dan kejumudan.
2. Dan hari ini, kita kembali mengenang kembali detik paling bersejarah dalam kehidupan berbangsa dan bernegara ini.
3. Saban tahun kita terus diingatkan betapa Kemerdekaan Malaysia bukanlah hadiah manis dan ihsan dari kolonial Inggeris.
4. Ia adalah maruah dan harga diri yang kita tebus dengan darah, keringat dan air mata. Berkat jerih payah para pejuang yang telah mendahului kita.
5. Mereka benar-benar rela mati. Hanya kerana ingin bangsa ini bebas dari belenggu penjajah. Pada mereka, mati berdiri dan berjuang itu jauh lebih mulia dari melihat anak bangsa terpaksa hidup melutut di bawah telunjuk asing.
6. Kita tidak akan pernah mampu membayar balik semua pengorbanan itu dengan apa-apa imbuhan dan laba sekalipun.
7. Pertanyaan yang lebih penting, yang harus kita sama-sama jawab dan fikirkan adalah, apa makna yang terkandung dari semua kemerdekaan ini?
8. Apa sebetulnya makna dan tujuan kita mengadakan peringatan hari kemerdekaan?
9. Pada saya, ia mempunyai beberapa konotasi penting.
10. Pertama, untuk kita sama-sama mendoakan para pahlawan kita. Pada pendiri bangsa.
11. Semoga mereka mendapat tempat sewajarnya di sisi Ilahi. Kepada mereka yang masih bersama kita, semoga Allah SWT memberikan keafiatan jua.
12. Wajar kita renungkan satu firman Allah SWT:
13. “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah (bahawa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya” Surah al-Baqarah: ayat 154.
14. Kedua, sambutan kemerdekaan adalah untuk mengenang pengorbanan pejuang bangsa.
15. Marilah kita mengambil sedikit masa mengenang para pejuang bangsa. Jasa mereka sebagai pejuang tak mungkinakan terlupakan.
16. Sekalipun mereka sudah tiada bersama kita hari ini, nama mereka tetap tersemat kemas dalam hati kita. Tetap terukir indah dalam lembaran sejarah.
17. InsyaAllah, Marilah kita mengenang mereka dengan cara terbaik. Iaitu dengan bersama-sama melangkah memberi yang terbaik untuk negara ini. Dengan menjaga keutuhan bangsa ini dengan segenap jiwa dan raga kita.
18. Ketiga, dan yang paling penting, bagaimana dengan sambutan sebegini, kita berpeluang belajar dan menimba teladan hidup dari para pejuang bangsa.
19. Ibarat mercu suar di tepi laut, yang menjadi pedoman bagi semua nelayan, para pahlawan adalah penunjuk arah yang jelas bagi kehidupan kita, sekarang dan masa depan yang penuh cabaran dan harapan.
20. Hari ini, kalau anak-anak ditanya, “Besar nanti nak jadi apa?” Hampir kesemua mereka menjawab, “Nak jadi doktor, jurutera, pilot”
21. Tidak ada yang akan menjawab ingin menjadi pahlawan.
22. Namun, ada benarnya. Kerana pahlawan itu sebetulnya bukan pekerjaan, tetapi panggilan dan seruan. Panggilan dan seruan untuk membela bangsa, agama dan negara.
23. Maka, inspirasi apakah yang boleh menjadi suri teladan dari kisah keperwiraan para pahlawan kita ini?
24. Pertama, kepentingan mempunyai cita-cita yang jelas.
25. Cita-cita para pahlawan dan pendiri bangsa hanyalah kemerdekaan Tanah Melayu. Tiada yang kedua.
26. Pada mereka, seluruh imaginasi dan hati mereka hanyalah tentang impian membebaskan ibu pertiwi dari penjajahan bangsa asing. Ia bukan sahaja cita-cita besar, cita-cita luar biasa. Tetapi cita-cita yang jelas.
27. Pendiri bangsa mengajar kita supaya menggantungkan cita-cita kita setinggi langit.
28. Agar cita-cita yang melangit itu menjadi inspirasi untuk kita bangun lebih pagi. Menjadi inspirasi untuk kita bekerja lebih keras, sanggup berpanas di bawah terik matahari, rela bekerja sampai lewat malam.
29. Malah, ia bisa menjadi inspirasi untuk kita melunaskan tugas-tugas kita bagaikan suatu panggilan dan seruan yang mulia. Sehingga kita mengerjakannya dengan sepenuh hati, dengan setulus rasa cinta.
30. Dan bila kita bekerja, ia tidak hanya untuk diri kita sendiri. Tetapi juga demi kebaikan orang lain. Untuk bangsa. Untuk keluarga. Untuk tetangga.
31. Kedua, semangat pantang menyerah.
32. Bila kita memiliki cita-cita yang jelas, cabaran atau godaan apapun tidak akan menggoyahkan kita. Kita tidak akan menyerah dengan mudah.
33. Ambillah iktibar pelayaran Christopher Columbus. Setelah berbulan berlayar, anak buah Columbus sudah putus asa. Pulau yang diimpikan belum juga kelihatan. Mereka terus mendesak Columbus untuk berpatah balik ke Sepanyol.
34. Tetapi setiap kali didesak, Columbus menjawab, “Kita teruskan sedikit lagi”
35. Dan akhirnya, apa yang sejarah ceritakan kepada kita? Columbus menemui bukan sekadar sebuah pulau. Malah sebuah benua Amerika.
36. Inilah hasil sebuah cita-cita besar yang jelas, yang diikuti dengan semangat pantang menyerah.
37. Jadi, janganlah kita mudah menyerah. Bila kita terus tegar berjalan menuju cita-cita, InsyaAllah pada suatu saat kita akan sampai di tempat tujuan. Seringkali hal itu terjadi pada saat kita sudah hampir putus asa.
38. Ketiga, keberanian.
39. Pahlawan dan pendiri bangsa pastilah bukan golongan pengecut. Ramai yang dipenjara. Ramai yang tidak diendahkan. Ramai yang disisih. Ramai yang gugur.
40. Tetapi kesemua mereka tidak pernah berputus asa. Mereka tidak mahu menempuh jalan aman, mudah dan hidup sebagai penakut.
41. Mereka dengan sedar memilih jalan sukar, sulit dan berbahaya. Mereka memilih untuk menempuh jalan yang jarang dilalui. Mereka adalah orang yang sangat berani.
42. Inilah yang perlu kita teladani sebagai generasi penerus bangsa.
43. Cita-cita yang cemerlang seringkali gagal karana kita tidak memiliki keberanian untuk mencapainya. Kita takut untuk memulakan langkah. Kita takut mengambil risiko. Kita takut dikritik dan dihakimi orang. Kita takut gagal. Semua rasa takut itu merantai dan melumpuhkan potensi kita.
44. Maka, jika kita semua memiliki keinginan, laksanakanlah. Keberanian memiliki nilainya sendiri. Kejayaan akan menjelma saat kita memiliki keberanian.
45. Dan percayalah, kejayaan dan keberhasilan itu hanya akan digapai oleh mereka yang berani. Dunia ini adalah untuk orang-orang yang berani.
46. Pengajaran keempat, semangat berkorban.
47. Tidak ada yang mudah dalam dunia ini. Apapun yang kita lakukan pastinya memerlukan pengorbanan.
48. Bahkan kalau kita tidak melakukan apa-apa, kita sebenarnya telah mengorbankan sesuatu, iaitu peluang dan kesempatan.
49. Kelima, menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia.
50. Kalau kita telusuri dan hayati nama para pahlawan dan pendiri bangsa. Kebanyakannya, tidak pun kita kenali secara peribadi. Tetapi kita rasa dekat dan kasih dengan mereka.
51. Kita bangga membaca kisah hidup mereka. Kita bangga dengan cerita keberanian mereka.
52. Para pahlawan yang gagah perkasa telah mengorbankan jiwa dan raga mereka demi tanah air, demi kita generasi penerus. Selayaknya, pengorbanan ini harus membuatkan kita berasa bangga.
53. Kerana pengorbanan mereka itulah, kita tidak lagi merempat dan terbuang di tanah air sendiri. Kerana pengorbanan mereka itulah, kita sama-sama memiliki ruang dan tempat dalam negara yang bertuah ini.
54. Jadi, kita mesti berbangga punya tanah air. Punya Malaysia yang satu-satunya ini.
55. Dan selaku generasi hari ini, kita mesti tampil dan ikut serta untuk menentukan ke mana arah negara ini hendak kita bawa.
56. Jangan kita hanya berpeluk tubuh. Melihat dan membiarkan sahaja tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab merobek dan merosakkan negara ini.
57. Sama ada kita ini mereka yang duduk di kerusi empuk dalam pejabat berhawa dingin atau penoreh dan petani yang berbudi pada tanah, atau nelayan yang bersabung dengan laut, atau guru yang tangannya berdebu dengan kapur tulis. Siapa sahaja kita, negara ini milik kita semua.
58. Serapuh mana pun bangsa dan negara ini, segoyah apa pun bangsa dan negara ini, lakukan dan berikanlah yang terbaik untuknya.
59. Sudah terlahir dari bangsa dan tanahair ini, seribu satu cerita terbaik. Cerita yang tidak pernah terfikirkan oleh mereka yang tidak bernegara.
60. Jadi, dengan berbekalkan cita-cita, keberanian, semangat pantang menyerah dan kemahuan untuk berkorban di abad ke 21 ini, ayuhlah kita jadikan Malaysia ini, rumah terbaik kita. Negara dan bangsa terbaik untuk semua.
Salam Merdeka
Salam Sehati Sejiwa
Salam Muafakat Johor