Monday, 2 May 2016

SISTEM PERUMAHAN JOHOR (RUMAH MAMPU MILIK JOHOR)

Jumlah keseluruhan permohonan baru (yang masih menunggu) yang direkodkan di dalam portal bermula tahun 2013 hingga tahun 2016 adalah berjumlah 90,419 permohonan.

Jumlah besar yang direkodkan ini  dijangka dapat dikurangkan menjelang tahun 2019  kerana kerajaan negeri telah pun merancang dan mensasarkan bekalan sebanyak 60 ribu Rumah Mampu Milik Johor  yang akan siap dibina di seluruh negeri Johor.

Dan bermula 16 Ogos 2015, segala permohonan Rumah Mampu Milik Johor telahpun menggunakan sistem perumahan johor yang dapat diakses di portal erumah.johor.gov.my.

Sistem yang telah ditambah baik ini  dapat membolehkan pengguna untuk menggunakan akaun yang dicipta  untuk menghantar permohonan rumah mampu milik, rumah kedai kos sederhana rendah dan boleh menyemak status permohonan terus secara online.

Adalah dicadangkan bagi mereka yang telah beberapa lama menghantar permohonan secara manual untuk mengisi semula maklumat atau memperbaharui permohonan rumah mampu milik secara online agar pejabat SUK Bahagian Perumahan mempunyai data terkini berkaitan maklumat permohonan oleh pemohon.

Maklumat yang diisi dalam permohonan ini amatlah penting kerana pemohon boleh memohon lokasi yang dijangka akan ada pembinaan  dan pelaksanaan rumah mampu  milik dan seterusnya akan menjamin peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan tawaran.
Bagi memastikan proses penawaran rumah mampu milik dikeluarkan mengikut saluran dan kaedah yang telus,  beberapa syarat dan prosedur baru telah diperkenalkan, antaranya;

1. Pemohon hanya perlu memastikan semua maklumat lengkap diisi semasa menghantar permohonan secara online.

2. Setiap permohonan akan diproses dan disaring berdasarkan merit yang dijana secara dalam sistem. sistem merit ini akan mengambil kira semua maklumat yang terlibat  seperti bujang/kahwin, jumlah pendapatan keluarga, pilihan kawasan dan lain-lain.

3. Bagi permohonan yang mendapat merit yang tinggi dan layak, mereka perlu datang (setelah dihubungi) ke pejabat suk bahagian perumahan untuk semakan dokumen.

4. Jika dokumen yang dibawa semua didapati adalah betul dan tepat seperti yang diisi, sijil akan dikeluarkan. Caj RM 10 akan dikenakan bagi satu sijil tawaran yang dikeluarkan.

5. Bagi setiap projek, akan ada sessi balloting kelayakan mendapat sijil tawaran dan balloting lot ptd khususnya diadakan didalam acara-acara rasmi.

Semoga dengan penerangan ini dapat membantu anda dalam proses memiliki rumah sendiri.