Kadar zakat fitrah di Johor pada tahun ini ditetapkan pada kadar RM7 berdasarkan harga semasa beras yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini. Jumlah itu diselaraskan Jabatan Fatwa Negeri Johor dengan pengesahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata 1,641 amil dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di seluruh Johor, selain terbabit dengan tugas membanci fakir serta miskin di kariah masing-masing.
"Umat Islam boleh mula membayar zakat terbabit mulai 1 Ramadan sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. "Umat Islam yang bermukim di negeri ini wajib membayar zakat fitrah di Johor kepada amil bertauliah yang dilantik MAINJ dan resit penerimaan akan dikeluarkan oleh amil berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abd Mutalip berkata, pihaknya menyasarkan pungutan berjumlah RM14 juta tahun ini dengan anggaran dua juta umat Islam di Johor membayar zakat fitrah. Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, katanya, sejumlah RM7.73 bantuan akan disalurkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin manakala 8,794 mualaf serta Orang Asli akan menerima bantuan membabitkan peruntukan RM1.9 juta.
Selanjutnya di : https://www.bharian.com.my/node/285226