Wednesday 2 November 2016

TABUNG WAKAF UNTUK RAKYAT JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan melancarkan Tabung Wakaf Rakyat Johor menerusi dana awal RM10 juta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada 8 November ini.
Tabung berkenaan yang diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Islam Johor (PIJ) dilancarkan pada hari kedua Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor (PWAJ) 2016 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut berkata, tabung wakaf itu dibuka kepada kepada semua golongan dan hasilnya nanti akan dilaburkan untuk kemudahan dan keperluan hampir dua juta umat Islam di negeri ini.
        
“Agenda tabung ini antaranya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan. Misalnya bidang pendidikan, kita akan bina sekolah-sekolah agama bersepadu, sekolah antarabangsa dengan kerjasama Universiti Al-Fateh, dari Turki.
“Selain itu kita berhasrat menghapuskan buta huruf dalam kalangan orang Islam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran PWAJ 2016 disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md. Rofiki Samsudin dan Penolong Pengarah Wakaf MAINJ, Mustafahayuddin Abdul Khalim. Nooh berkata, daripada segi ekonomi pula, tabung itu memberi bantuan kepada orang Islam di Johor seperti program keusahawanan, program belia, program tajaan, program kemasyarakatan dan program sosio ekonomi. Selain itu katanya, dana tabung itu akan digunakan untuk membangunkan sektor hartanah dan aset berkaitan Wakaf PIJ seperti Taman Perbadanan Islam, rumah kedai, pusat sukan, pusat pendidikan, inkubator dan pusat perniagaan.
“Tabung ini juga akan digunakan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan orang Islam. Begitu juga membina surau dan masjid.
Pelaburan bidang kesihatan pula untuk mencegah penyakit dan bantuan perubatan kepada orang Islam.
“Begitu juga pengeluaran produk kesihatan halal. Rangkaian klinik kesihatan wakaf. Umat Islam boleh menghulurkan sumbangan bermula dengan RM3 ke atas. Begitu juga syarikat swasta dan korporat yang diharap dapat menyumbang,” ujarnya. – Utusan Online