Sunday, 27 November 2016

PERINGATAN MENTERI BESAR JOHOR KEPADA DAP!

Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini memberi peringatan dan nasihat baik kepada semua, khususnya wakil rakyat DAP.

Barisan Nasional telah memimpin negara ini dengan cara yang sangat sederhana. Model kita telah teruji. Semua kaum mempunyai tempat yang selayaknya dalam Malaysia yang berubah ini. BN telah menjadikan Malaysia ini sebuah negara kesepakatan yang berjaya.

Sedangkan DAP selama ini dilihat hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja, iaitu kepentingan masyarakat Cina. Sepanjang kewujudan DAP, sehinggalah hari ini, DAP tidak pernah sekali pun mengemukakan pencerahan dan cadangan bagaimana mereka akan membantu bangsa Melayu dan India untuk lebih berdaya saing.

Lihat sahaja kesenjangan di Pulau Pinang. Jurang antara orang Cina dan orang Melayu dan India bukan sahaja semakin melebar, malah membahayakan. Ia menyumbang kepada polarisasi dan polarisasi adalah ancaman kepada keselamatan. Dan kerana itulah, saya yakin DAP tidak akan sesekali dapat menarik sokongan orang Melayu dan India di Johor ini.

Sifat perkauman yang sangat menebal dalam agenda dan sikap politik DAP adalah sebab paling utama kenapa DAP mesti ditolak di Johor. DAP dan agendanya tidak sesuai dengan aspirasi Bangsa Johor dan Muafakat Johor. Dan pastinya tidak secocok dengan Agenda Johor Berkemajuan.

Apakah kepimpinan DAP beranggapan bahawa dengan menarik hanya beberapa remaja Melayu yang rupawan dan jelita, maka ia terus menjadikan mereka parti yang ‘multiracial’ serta mampu mewakili kepentingan Melayu?

Kita boleh tanya ahli-ahli Pembangkang dari PAS. Mereka pernah tidur sebantal dengan DAP. Jadi saya yakin mereka boleh memberi pencerahan akan sikap sebenar DAP dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, nasib orang India dan pastinya nasib agama Islam.

Jadi, dalam Dewan ini saya berikrar yang saya akan melakukan apa yang BN Sarawak telah berjaya lakukan. Iaitu menjadikan perwakilan DAP sekadar kenangan sahaja di Dewan yang mulia ini.

Petikan ucapan pergulungan Bajet Johor 2107 pada 27.11.16 oleh DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN, MB Johor.