Friday, 12 August 2016

MINTA BAHAGIAN SENARAIKAN AHLI TAJA, PROMOSI PARTI BARU - UMNO JOHOR

Umno bahagian di Johor diminta menyenaraikan anggota mereka yang dipercayai terlibat atau dikaitkan dengan parti baru, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ini adalah bagi memastikan bahawa perjuangan anggota Umno di negeri ini dalam memantapkan parti menjelang pilihan raya Umum Ke-14, tidak menghadapi kecelaruan.

Mohamed Khaled berkata terdapat nama-nama anggota Umno di negeri itu yang tersebar menerusi laman web yang turut mendakwa mereka ini menjadi penaja atau mempromosi parti baru.

"Saya minta agar Umno Bahagian dapat menyenaraikan (nama anggota yang dipercayai terlibat atau dikaitkan) dan menghantar kepada ibu pejabat supaya ibu pejabat dapat tentukan kedudukan mereka ini.

"(Ada di antara) mereka ini (yang) duduk dua alam. (Ini bagi memastikan) sama ada nama mereka digunakan untuk menaja dan mempromosi parti (baharu) dan mereka dapat mengumumkan sama ada mereka betul-betul terlibat atau tidak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor hari ini.

Mohamed Khaled, yang juga menteri besar Johor berkata beliau juga ada menerima laporan bahawa ada yang menggunakan nama anggota-anggota yang tidak terlibat dan mengaitkan mereka dengan parti baru.

"Jika ada di antara mereka yang betul-betul terlibat, mereka perlu membuat satu ketetapan. Kalau mereka terlibat mereka patut jangan ada apa-apa hubungan lagi dengan Umno," katanya.

Baru-baru ini, bekas timbalan perdana menteri yang juga bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa ramai bekas anggota Umno ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia tetapi tidak bersedia menyatakan sokongan secara terbuka.
- Bernama